RUANGAN IKLAN

Untuk makluman pembaca, ruangan iklan (Jawatan Kosong & Perniagaan) berada di bahagian bawah laman ini.

Terima kasih.

Rayuan Derma

JADUAL KULIAH BULANAN YB. USTAZ MOKHTAR DI MASJID & SURAU DALAM DUN SG. BAKAP

Minggu Pertama
AHAD - Surau Permatang Ara
ISNIN - Surau Taman Puteri Gunung
SELASA - Masjid Lama Sungai Duri
RABU - Surau Kg. Lima Kongsi

Minggu Kedua
AHAD - Masjid Kepala Gajah
ISNIN - Masjid Tasek Chempedak
RABU - Masjid Kampung Besar
SABTU - Masjid Padang Lalang

Minggu Ketiga
AHAD - Masjid Sg. Kechil Ilir
ISNIN - Masjid Lama Sg. Bakap
SABTU - Masjid Tasek Junjong

Minggu Keempat
ISNIN - Surau Tmn. Jawi Indah
SABTU - Surau Sg. Buaya

CATATAN :
1. Setiap hari Khamis & Jumaat di Masjid Baru Sungai Bakap.
2. Kesemua kuliah selepas maghrib.
3. Setiap pagi Jumaat, kuliah di adakan di Surau Al-A'tiah (sebelah rumah YB Ust. Mokhtar)

JADUAL KHUTBAH JUMAAT YB. USTAZ MOKHTAR

16 Okt 09 - Masjid Jamek Kepala Gajah

23 Okt 09 - Masjid Jamek Kampung Besar

30 Okt 09 - Masjid Jamek Padang Lalang

6 Nov 09 - Masjid Jamek Sungai Kechil

13 Nov 09 - Masjid Jamek Sungai Duri

20 Nov 09 - Masjid Jamek Tasek Chempedak

27 Nov 09 - Masjid Lama Sungai Bakap

4 Dis 09 - Masjid Baru Sungai Bakap

Pengumuman kepada pengundi-pengundi Parlimen Nibong Tebal

Kemaskini Daftar Pemilih
Parti Keadilan Rakyat Cabang Nibong Tebal kini sedang mengemaskini Daftar Pemilih untuk memudahkan pihak kami mengenalpasti pengundi-pengundi yang telah meninggal dunia.

Oleh itu, waris-waris kepada pengundi yang telah meninggal dunia diminta menghantar terus kepada Pejabat Cabang salinan Sijil Kematian pengundi tersebut ke alamat:

Parti Keadilan Rakyat
Cabang Nibong Tebal
1520 Tingkat Atas, Jalan Stesen
14200 Sungai Bakap
Pulau Pinang

Tel : 604-582 7549
Fax : 604-582 8648
email : keadilannt@gmail.com


Sekiranya ANDA masih belum mendaftar, datanglah terus ke Pejabat Cabang @ Pejabat POS berhampiran...
Negara Kita, Tanggungjawab Kita.
Daftarlah sebelum terlambat..........
"UNDI ANDA PENENTU MASA DEPAN NEGARA"


Isnin, Disember 21, 2009

Anwar dapat anugerah 'Pingat Demokrasi Antarabangsa'


SHAH ALAM, 21 Dis: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan 'pingat demokrasi' oleh Persatuan Antarabangsa Konsultan Politik (IAPC) dalam satu majlis di Shah Alam Convention Centre, dekat sini petang ini.

IAPC ditubuhkan pada tahun 1968. Ia adalah organisasi global yang profesional politik dan penasihat urusan awam yang didedikasikan untuk menggalakkan demokrasi di seluruh dunia.

Ia dianggotai oleh ahli daripada lebih 20 negara di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Australia.

Menurut satu kenyataan IAPC, setiap tahun, IAPC akan menganugerahkan pingat penghargaan kepada individu atau pertubuhan yang melambangkan komitmen untuk demokrasi melalui ucapan dan tindakan mereka.

Sebelum ini, antara penerima pingat ini adalah Morgan Tsvangerai dari Afrika Selatan dan Martin Lee dari Hong Kong.

Pada tahun 2009 Anwar Ibrahim dipilih sebagai penerima pingat ini kerana keberanian dan usaha yang tak henti-henti beliau untuk memulihkan kerajaan demokratik di Malaysia, kata kenyataan itu.

Setelah menghabiskan satu dekad berpolitik, tsunami politik berlaku di Malaysia iaitu pilihanraya umum Mac 2008. Ia telah selamanya mengubah lanskap politik Malaysia.

"Ada akauntabiliti yang lebih besar dalam kerajaan dan sudah ada kebangkitan umum dalam masyarakat Malaysia dan menemukan kembali kekuatan suara mereka," kata kenyataan itu.

Selepas ditangkap, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen apabila beliau menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ogos 2008. Dia kemudiannya dilantik sebagai ketua pembangkang di parlimen Malaysia.

"Dia terus menjadi suara terkemuka untuk pembaharuan dan perubahan di negara ini," kata kenyataan itu.

Foreign Policy Magazine menamakan beliau salah seorang 100 pemikir global dan Royal Institute of Strategic Studies memasukkan beliau dalam senarai daripada 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia.

Tokoh yang akan menyampaikan penghargaan untuk Anwar Ibrahim petang ini adalah Ahli Majlis IAPC, Robert Murdoch.


Pidato Perdana Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi


Alhamdulillah..

Sahibul Fadhilah Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi telah menyampaikan pidato perdana beliau sempena Sambutan Awal Muharram di Masjid Negeri Shah Alam semalam Sabtu 02 Muharram 1431 / 19 Disember 2009. Kehadiran jemaah yang begitu ramai membuktikan betapa unggul dan hebatnya ulama' tersohor dunia Islam hari ini.

Majlis julung-julung kali yang diadakan di Masjid Negeri Shah Alam itu turut dihadiri oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor), YB Dato' Hassan Ali (Exco Hal Ehwal Islam), YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Ekonomi Negeri Selangor), YB Tuan Guru Haji Abduk Hadi Awang. beberapa orang bekas Mufti, tokoh-tokoh ulama' dan para 'ilmuan serta para ustadz, da'i, pendakwah, penceramah dan aktivitis Islam serta para jema'ah Muslimin dan Muslimat. Ada yang datang sejuah Singapura semata-mata untuk bertemu dengan Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi.

Walaupun terdapat usaha pihak tertentu untuk menggagalkan ceramah perdana tersebut namun dengan izin ALLAH majlis tersebut berjalan dengan baik. Sumber-sumber Kerajaan Selangor menyatakan bagaimana ada pihak tidak berpuas hati kerana Dr. Yusuf Al Qordawi adalah tetamu Kerajaan Persekutuan Be End, bagaimana pulak beliau menghadirkan diri dan menyertai program anjuran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor Darul Ehsan! Begitulah sempit dan jumudnya pemikiran golongan-golongan tertentu yang berpolitik tak habis-habis.


Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi memulakan ucapan dengan menceritakan persahabatan yang terjalin diantara beliau dengan seorang pemimpin muda Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditahun 70an.

Bagaimana pemimpin ABIM tersebut terus memelihara silaturrahmi mereka, walaupun sudah menjadi pemimpin besar negara, pemimpin tersebut terus berhubungan dengan beliau dan beberapa kali mengadakan pertemuan samada dengan menjemput beliau ke negara ini ataupun di luarnegara.

Apablia pemimpin itu dijatuhkan dan di 'aibkan, Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi menceritakan bagaimana beliau terus menerus berhubungan dan mendoakan pemimpin tersebut, sehinggalah pemimpin tersebut dibebaskan daripada penjara. Kini beliau terus dengan silaturrohmi bersama pemimpin tersebut.

Pemimpin yang beliau maksudkan ialah DATO' SERI ANWAR IBRAHIM!





Sheikh Dr. Yusuf Qordawi menceritakan bagaimana kita perlu melahirkan umat Islam yang benar-benar beriman walau apa juga bidang yang beliau ceburi. Samada dia seorang peniaga, pedagang, tentera, pekerja 'am, guru dan lain-lain, iman perlu ditanamkan kepada seluruh jiwa umat Islam. Kita perlu lahirkan golongan saperti Saidina Abu Bakr, Saidina 'Umar, Saidina Ali, Saidina Abdul Rahman 'Auf, Saidina Sa'ad Abi Waqqas dan ramai lagi. Hanya dengan iman yang kental umat Islam akan berjaya, didunia dan akhirat.





Beliau juga menyentuh tentang perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa. Ia adalah tanggungjawab setiap umat Islam tidak kira dimana dia berada, dan apa juga kedudukannya untuk berjuang membebas dan membuka semula Masjidil Aqsa.




Doanya ....KALAHKAN MEREKA YA ALLAH,
KALAHKAN MEREKA YA ALLAH!!

Ceramah Sheikh Dr. Yusuf Qordawi yang mengambil masa hampir 1 1/2 jam itu disampaikan dalam bahawa 'arab dan diterjemahkan oleh Sahibul Fadhilah Ustad Abdul Ghani Shamsudin, mantan Presiden Persatuan Ulama' Malaysia. Kehadiran jema'ah yang begitu ramai sehingga terpaksa berasak didepan tempat ceramah. Ramai juga yang terpaksa berdiri. Selepas majlis ceramah dan solat 'isya, ramai yang bersalaman dan mengambil gambar dengan Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi.

Moga kehadiran Sahibul Fadhilah Sheikh Dr. Yusuf Al Qordawi ke Malaysia akan membawa sinar harapan baru kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan didunia umumnya;

Wassalam.


Teks dari YB Zul
Lagi teks ucapan beliau boleh dibaca di sini

Ahad, Disember 20, 2009

PR, jangan pandang belakang

Oleh :

Kalau menyertai konvensyen PR, 19 Dis di MBSA boleh dimasukkan sebagai pengalaman peribadi, saya tidak malu untuk berkata itulah pengalaman politik peribadi paling manis. Apa yang berlangsung itu melangkaui ufuk pemikiran orang politik biasa, apatah lagi musuh politik PR.

Masakan tidak. PAS dan DAP yang lebih dewasa daripada PKR meranduk sawah politik Malaysia ada sejarah ‘kelabu’ yang tersendiri. Sejarah kelabu itulah yang dicanang sehingga kini oleh Umno / BN untuk menidakkan muafakat antara PAS dan DAP.

Usah disebut lagi, usah diulang lagi sejarah kelabu itu. Biarkan dia berlalu. Biarkan sejarah merakamnya dan anak cucu kita membacanya. Cuma, kita ingatkan mereka supaya jangan mengulangi sejarah kelabu itu sama seperti kita tidak mahu menyebutnya lagi pada hari ini.

Ungkapan Karpal dalam ucapannya menjadi pengunci mati sejarah kelabu itu. “… saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini”. Ucapan Tok Guru juga ada signifikannya, “Saya nampak ada bulan di dada Karpal”.

Mereka yang tidak dapat merasai kemanisan konvensyen kelmarin adalah mereka yang mati sensitiviti politiknya, walau pun dia mengaku dia adalah anggota ‘gerakan Islam’.

PR tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Kita melangkah dengan harapan politik baru. Bukan politik perkauman senget, sempit dan songsang dendangan dan warisan Umno / BN.

Biarkan Umno dengan ratib Melayunya. Orang Melayu kehilangan biasiswa, kehilangan bumi, kehilangan bahasa, kehilangan wibawa, kehilangan harga diri, Umno masih juga terhinggut-hinggut dengan ratibnya.

Melayu rosak dan hilang bukan kerana DAP. Melayu rosak dan hilang kerana Umno, kerana politik perkauman senget, sempit dan songsang Umno. Umno menipu orang Melayu dengan ‘dacing kandar’ nya itu.

Betul, Umno memang membela Melayu tetapi Melayu atasan, Melayu elit, Melayu di sekeliling pinggang pemimpin Umno. Melayu marhaen termasuk pengundi Umno di desa tiada tempat dalam kamus pembelaan Umno. Ketika Melayu merempat ini pun, Umno masih juga meratib ‘Melayu’. Poooraahhh…

PR mesti memberi fokus kepada agenda pelaksanaan dasarnya. Jangan menoleh lagi. Teruskan perjalanan, tukar gear satu demi satu. Berhenti sekejap bila bertemu lampu isyarat kemudian terus semula perjalanan. Jangan fikir untuk berpatah balik. Lupakan sekejap gear undur itu.

Cuma jangan ditanggal gear undur. Bila berhadapan tembok, undur sedikit, jangan undur terus. Kemudian sambung semula perjalanan ke hadapan.

Jangan bimbang rakyat bersama kita selama mana kita bersama mereka. Dan, mereka tetap akan bersama kita sekiranya kita bukan sekadar membawa harapan tetapi membawa sinar kepada kehidupan mereka.

Anwar Melayu, Abdul Hadi Melayu, Karpal Singh Benggali, Kit Siang Cina, Guan Eng Cina, persetankan itu semua. Bangsa dan darah keturunan bukan urusan kita. Darah kita sama merah dan kita semua adalah manusia.

Melayu tak akan hilang kemelayuannya sama seperti Cina dan Benggali. Tetapi kita boleh kehilangan kemanusiaan apabila kita menindas mereka yang sepatutnya dibela. Hari ini dan kelmarin, dan tidak mustahil besok juga, rakyat pernah merasai mereka diperlakukan seperti ‘kaldai penanggung barang’ oleh Umno.

Apa buktinya? Salah satu ialah GST. Semua akan merasai perit GST tanpa mengenal Melayu, Cina atau Benggali. GST ini bikinan siapa kalau bukan parti berkuasa hari ini, Umno?

Anwar Islam, Abdul Hadi Islam, Nik Abdul Aziz Islam. Karpal Singh, Kit Siang, Chua Jui Meng bukan Islam. Takdir Tuhan mereka dilahirkan daripada rahim ibu masing-masing yang menganut agama masing-masing.

Justeru kelainan agama itu urusan kitakah? Tidak, itu urusan Tuhan Pencipta kita. Tuhan lebih mengetahui tindakan-Nya. Dia lebih maklum hikmah di sebalik itu semua.

Kewajipan kita kini ialah menampilkan kerahmatan Islam. Pada hari ini, di Malaysia, jangankan orang bukan Islam, orang Islam sendiri pun tidak dapat menikmati sepenuhnya kerahmatan Islam itu. Orang Islam tidak dapat merasai nikmat kewujudan ratusan masjid, apatah lagi orang bukan Islam.

Siapa yang memerintah negara ini selama ini? Bukankah Umno yang mengaku menjadi tulang belakang BN?

Kalau ada orang bukan Islam yang tidak senang dengan Islam, itu kerana mereka tidak merasai kemanisan rahmat Islam. Mereka mendapat maklumat mengenai Islam daripada sumber yang salah. Sumber itu ialah Umno.

Tak percaya? Cuba baca kenyataan Ketua Penerangan Umno tahun 2009 yang berfikiran macam orang yang hidup pada abad ke 17.

“… perasaan orang Melayu dan Islam terhiris dengan tindakan pemimpin DAP dan PKR yang mempermainkan ayat al-Quran dengan membacanya demi menarik sokongan pengundi…”

Saya tidak percaya pada zaman ini ada lagi orang seperti ini. Hah… Orang bukan Islam tak boleh baca ayat al-Quran? Woi, siapa ajar kamu begitu…? (Baca sini).

Kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi, saya dan kami bangga dan berterima kasih setinggi-tingginya. Kebijaksanaan kedua-dua Tuan Guru adalah jasa terbesar kepada anak cucu kami dan kita, anak cucu Karpal dan Kit Siang juga.

Kerana mereka mendapat gambaran benar mengenai Islam sebagai rahmat untuk semesta alam. Kalau pun mereka mungkin menemui Tuhan dalam keadaan tidak menerima Islam, sekurang-kurangnya mereka dapat merasai nikmat rahmat Islam di dunia ini. Bukankah itu lebih baik daripada tidak mendapat langsung?

PR, jangan pandang belakang lagi. Kita berasa di atas landasan yang betul. Persetankan suara anjing yang menyalak di kiri kanan perjalanan kita. Galaslah harapan kami ini kerana kami telah berputus harap kepada Umno.


Sabtu, Disember 19, 2009

Anwar: ‘Jangan ganti rasisme dengan rasisme baru’


Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa setiap kaum di Negara ini mengikis semangat perkauman masing-masing jika benar-benar mahu membentuk sebuah negara yang adil bagi semua kaum.

“Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu,” kata beliau.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menyatakan demikian dalam ucapan perdananya pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini hari ini.

Anwar menjelaskan jika ia berlaku maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman.

“Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.

“Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai ‘moral resources’, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah,” katanya.

Penasihat PKR itu memberitahu, maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang pihaknya membentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik.

“Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

“Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud.

“Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi,” katanya lagi.

Kata beliau surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar “kita meninggalkan perkauman sempit ini.”

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu),” kata beliau.

Jelas beliau, prinsip karamah insaniah dan lita'arafu ini yang menggembleng keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras.

“Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru,” katanya lagi.

Anwar juga mengakui bahawa Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan mereka atau jentera parti.

“Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung,” katanya.

Anwar menambah rakyat mahu mencuba Pakatan Rakyat kerana mahu menguji ikatan pembangkang itu.

“Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut.

“Selama setengah abad parti-parti pembangkang berjuang, ramai yang menjadi korban kezaliman, dipenjara, merengkok dalam kamar sepi dan dikelilingi oleh kawat berduri, keluarga mereka menderita.

“Apabila kita diberikan sedikit kuasa kita jangan lupa ini semua,” katanya.

Bersatu leburkan perkauman sempit


Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sepakat untuk meleburkan semangat perkauman sempit untuk mencapai tujuan yang lebih besar iaitu mencapai tujuan bersama untuk seluruh masyarakat Malaysia.

Kesepakatan ini diikrarkan oleh pemimpin utama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ketika memberikan ucapan utama mereka di Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat pagi ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili parti masing-masing dalam menyampaikan kesepakatan itu.

Ketiga-tiga mereka memberikan ucapan utama di permulaan konvensyen pertama PR yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Slam (MBSA) pagi ini.

Lebih 1,500 pemimpin dan perwakilan memenuhi auditorium itu untuk menyertai konvensyen yang bertema 'Memimpin Perubahan Menjana Kemenangan' itu.

Di atas pentas utama, selain ketiga-tiganya, duduk di sana adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah, Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh di samping Datuk Seri Khalid Ibrahim, MB Selangor sebagai tuan rumah.

"Kita akan mengamalkan prinsip hubungan 'karamah insaniah' melawan perkauman sempit yang diperjuangkan oleh Umno," kata Anwar.

"Kita mesti melihat kita semua dalam konteks ibu, ayah, anak, adik, abang, kakak dan sebagainya bukannya dari warna kulit dan kaum serta agama masing-masing," kata Lim Guan Eng.

Abdul Hadi pula dalam ucapannya meminta semua pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat mendahulukan yang disepakati di kalangan mereka dan menangguhkan dulu perbezaan sehingga mereka mencapai kata sepakat.

Tindakan ini perlu untuk memboleh Pakatan bergerak ke depan tanpa dilagakan oleh musuh-musuh mereka.

Satu lambang, PR jangan tiru BN


Konvensyen PR menjadi salah satu batu tanda penting hubungan parti-parti dalam PR. Dalam suasana Umno / BN amat berharap parti-parti dalam PR bercakaran sesama sendiri, tiba-tiba konvensyen ini berlangsung.

Sehingga kini belum ada komen pemimpin Umno / BN mengenai konvensyen ini. Mungkin mereka masih terkejut dengan kejadian di parlimen 14 Dis yang lalu.

PR guna satu lambang seperti BN? Saya harap konvensyen ini tidak mengeluarkan resolusi begitu. Kenapa?

Penting sangatkah lambang? Kecuali sistem pilihanraya kita berubah, ada cara lain selain lambang untuk membolehkan pengundi memilih parti yang mereka mahu, lambang masih sangat penting.

PAS berbeza dengan PKR dan DAP sama seperti Umno berbeza dengan MCA dan MIC. Perbezaan ini harus diiktiraf sama seperti pengiktirafan terhadap wujudnya persamaan. Apa yang mustahak, perkukuhkan keserasian dengan perbezaan yang wujud itu.

Lelaki dan perempuan berbeza tetapi mereka tidak perlu memakai baju yang sama untuk memaklumkan kepada umum bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Cukuplah dengan mereka menaiki kereta bersama, membeli-belah bersama, makan angin bersama, ketawa dan menangis bersama, memegang tangan anak-anak ketika berjalan bersama, itu sudah memadai.

Jiran-jiran tahu, kawan-kawan tahu, bahkan orang yang tidak mengenali mereka pun tahu bahawa mereka pasangan suami isteri bila melihat mereka begitu.

Apa yang mengikat mereka? Ya, selain dokumen perkahwinan, mereka diikat oleh kebersamaan mereka menghadapi situasi. Ada ketika mereka berkelahi, berbalah, bergaduh, tetapi kemudiannya mereka kembali bersama malah lebih intim lagi. Demi siapa? Ya, demi anak-anak, masa depan mereka.

PAS, PKR dan DAP tidak perlu menggunakan lambang yang sama. Lebih selesa, tenang kita memakai lambang sendiri seperti sekarang. Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua.

Kita tidak perlu menipu rakyat seperti BN. Ke sana sini memikul dacing, tapi Umno menikam Melayu, MCA dan MIC pun tidak setara mana membela kaum mereka. Orang yang terbela ialah orang yang berkuasa, pemimpin mereka.

Dengan satu lambang itu, pada hari ini rakyat tidak kemana. Kekayaan negara mereka punggah dan difaraidkan sesama mereka. Rakyat ditipu dengan satu lambang. Satu lambang, kononnya simbol perpaduan. Akhirnya, mereka memang berpadu tetapi untuk tipu kita.

Kita tampil di hadapan rakyat dengan wajah kita. PAS, PKR dan DAP dengan wajah masing-masing. Kita suarakan idealisme kita. Fokus kita ialah rakyat, masa depan mereka.

Politik tipu rakyat dengan satu lambang tidak harus kita warisi. Kita mesti berbeza daripada BN. Kita perlu melakar wajah politik baru untuk Malaysia.

Berikan rakyat Malaysia peluang yang luas untuk menentukan masa depan mereka. Jangan ikat dan berkas mereka dengan lambang seperti BN. Andai PR berkuasa, lebih baik kita berikan rakyat Malaysia banyak pilihan, PAS, PKR dan DAP daripada kita mengikat mereka dengan dua pilihan sahaja, PR dan BN.

Rakyat akan lebih memberontak jika mereka diikat berbanding mereka diberikan banyak peluang dan pilihan.

BN telah memenjara rakyat dengan ‘dacing’. Hari ini rakyat memberontak. Ahli atau penyokong Umno tidak mampu beralih kepada parti lain dalam komponen BN, ahli atau penyokong MCA tidak beralih kepada Gerakan misalnya, kenapa? Kerana mereka jemu dengan ‘idealisme’ dacing itu. Kesudahannya mereka meninggalkan terus ‘dacing’.

PR mesti memberi peluang kepada ahli atau penyokongnya terus bersama PR sekali pun dia mungkin tidak mahu bersama dengan salah satu parti dalam PR. Bukankah itu lebih menguntungkan politik kita? Dia tidak selesa dengan A, boleh pilih B, namun masih bersama PR.

Justeru, saya tidak bersetuju PR menggunakan satu lambang sahaja. Lebih baik terbuka, lebih selesa bebas, lebih mesra beridentiti. Dada tidak sempit, fikiran tidak kusut.

Bukan saya seorang tetapi saya yakin rakyat Malaysia juga begitu. Rakyat Malaysia sudah fobia dengan satu lambang, ‘dacing’.

Pakatan saji dasar sulung 4 prinsip teras


Pakatan Rakyat (PR) mengadakan konvensyen sulungnya di Selangor hari ini, antara negeri yang diterajuinya kira-kira 20 bulan selepas ditubuhkan hasil keputusan pilihan raya umum ke-12.

Pertemuan pertama bakal menyaksikan pembentangan Dasar Pakatan Rakyat yang terdiri daripada empat pegangan teras — digubal sedemikian rupa untuk menggambarkan bahawa ketiga-tiga komponennya — PKR, DAP dan PAS walaupun berlainan prinsip perjuangan tetapi masih mampu untuk bermuafakat dalam banyak perkara.

The Malaysian Insider
difahamkan empat pegangan teras itu ialah Demokrasi Telus dan Tulen, Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil, Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

PR dikatakan merangka dasar ini untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru dengan menggembleng rakyat pelbagai kaum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Teras Demokrasi Telus dan Tulen dijangka akan memfokus pada soal negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa dan sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil manakala teras Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil, Keadilan Sosial akan memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan lestari dan pembangunan hijau, ekonomi demokratik dan telus, ekonomi kemahiran tinggi, dasar afirmatif berdasarkan keperluan, tenaga kerja, jaringan perlindungan sosial, perumahan, prasarana dan kemudahan awam dan alam sekitar.

Dalam pada itu, teras Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan pula akan menyentuh aspek perpaduan, agama, pendidikan, wanita, belia, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan. Teras keempat Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara akan menyentuh sistem persekutuan, Sabah dan Sarawak dan dasar luar negara.

Difahamkan, PR menyediakan dasarnya itu, yang sebahagian kandungannya merupakan janji manifesto pilihan raya umum ke-12, untuk membawa rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip perlembagaan.

“Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan.

“Hanya dengan keadilan, semua rakyat akan makmur dan bersatu padu,” bunyi dasar tersebut.

PR juga dipercayai merangka dasar itu dalam usaha untuk menyediakan satu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Hasil perbincangan dasar itu, Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara.

The Malaysian Insider
juga difahamkan beberapa perkara utama yang dijanjikan ketika pilihan raya umum lalu tidak dipersetujui bersama tetapi bermuafakat untuk membincangkannya lagi selepas pertemuan sulung ini. Ini termasuklah soal pilihan raya kerajaan tempatan.

Setiap anggota komponen PR dipercayai menghantar 500 perwakilan menjadikan kira-kira 1,500 peserta akan mengambil bahagian dalam pertemuan ini.

Usaha untuk mengadakan konvensyen ini telah dimulakan sejak dua bulan lalu selepas ia diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 21 Oktober lepas

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam iaitu salah satu negeri yang dipimpin oleh PR.

Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyebut konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.

Dalam pada itu, mengikut atur cara yang dikeluarkan, konvensyen akan bermula dengan ucapan perdana tiga pemimpin komponen PR iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia akan disusuli dengan pidato Dasar Pakatan Rakyat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan pembahasnya ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dan Naib Presiden PKR R. Sivarasa Rasiah serta lima pembahas dari setiap parti.

Ucapan rumusan dijangka disampaikan oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar.

Khamis, Disember 17, 2009

Doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah


Ehsan : Kerabu Bersuara

MP BN protes bajet Najib : Azmin

KUALA LUMPUR – “Pakatan Rakyat (PR) ada maklumat mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah sebagai tanda protes mereka terhadap Bajet 2010, tetapi saya enggan membuat spekulasi itu,” kata Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Menurutnya, tindakan protes itu mencerminkan ketidaksungguhan Ahli Parlimen BN untuk menyokong bajet kerana merasakan cadangan pembangkang semasa sesi perbahasan adalah lebih relevan.

“Ini menunjukkan ketidaksungguhan Ahli-ahli Parlimen BN untuk menyokong Bajet 2010 yang begitu penting dan mereka tidak bersedia untuk mempertahankan Bajet 2010.

“Soalnya setelah Ahli-ahli Parlimen yakin dengan hujah-hujah kita semasa perbahasan yang dilihat lebih relevan. Tetapi untuk membantah , tindakan yang lebih selamat iaitu adalah dengan tidak menghadirkan diri,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi Bajet 2010 hampir tidak dapat diluluskan dalam perbahasan Dewan Rakyat Isnin lalu apabila kerajaan hanya berbeza tiga undi dengan pembangkang iaitu BN-66 dan PR 63.

Mengulas mengenai tindakan ‘menyerbu’ ketika ketiadaan Ahli Parlimen BN adalah terancang, Azmin berkata: “Ini bukan tindakan kebudak-budakan kerana sebagai Ahli Parlimen kami hadir selaras dengan aturan mesyuarat Dewan Rakyat dan mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Ahli Parlimen Barisan Nasional seperti budak-budak. Sepatutnya mereka sertai perbahasan dan menyokong usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya.

Katanya, Bajet 2010 ditolak kerana kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas untuk menampung perbelanjaan negara.

“Sejak dua dekad lalu kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan Petronas dan seharusnya kerajaan perlu menggunakan mekanisme lain bagi menjana pendapatan yang lebih mapan.

“Kebimbangan jelas kerana pendapatan Petronas akan menurun sebanyak RM59 bilion pada Mac 2010 sekali gus menjejaskan prestasi ekonomi negara. Pakatan telah menegur kerajaan beberapa kali dan sewajarnya perlu menimbangkan mekanisme lain dan menumpukan insentif-insentif baru seperti meningkatkan pelaburan asing untuk jana pendapatan yang mapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, undi tidak percaya telah memberikan pengajaran besar kepada BN.

“Ini benar-benar telah memberi pengajaran yang besar terhadap kerajaan BN. Mereka leka dengan tanggungjawab dan kehadiran dalam Parlimen. Ini adalah masalah memberikan komitmen dalam situasi membahaskan Bajet 2010 yang melibatkan berbilion ringgit.

“Ini bukan perkara kecil dan tidak ada istilah menyerbu kerana itu peranan kami untuk hadir ke Parlimen untuk pastikan agenda dalam perbahasan adalah serius,” katanya.

Rabu, Disember 16, 2009

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlu Lebih Berdaya

Setelah mendengar jawapan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini; kami berasa sungguh kecewa kerana jelas bahawa selama ini Senator Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengecewakan bukan sahaja wanita-wanita di Malaysia tetapi juga telah melambatkan pembangunan negara. Jelas Shahrizat tandus idea dan lemah kemahuan politik (political will) untuk melonjakkan wanita sebagai unsur penting dalam pembinaan negara (nation building). Kerajaan Persekutuan juga didapati kurang bertindakbalas terhadap kelembapan perkembangan wanita, keluarga dan masyarakat di negara ini.

Shahrizat sepatutnya meminta peruntukan yang lebih besar lagi bagi membantu Kerajaan Malaysia dalam membangunkan negara melalui pembinaan wanita itu sendiri. Apa yang kami rumuskan dari jawapan beliau jelas beliau mengambil lewa pemantauan ’cross-cutting budget’ dari ’gender-responsive budgeting’ yang kononnya diamalkan oleh KPWKM. Hasilnya; pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat masih di takuk lama.

KPWKM sepatutnya mengadakan dengan segera Pelan Tindakan untuk menanam konsep ’gender-sensitize’ ke dalam kelima-lima kementerian yang telah gagal menjalankan pembangunan kementerian masing-masing berdasarkan ’gender-responsive budgeting’. Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengesahkan bahawa mereka tidak tahupun apa itu ’gender-responsive budgeting’.

Secara keseluruhan; kami menyeru agar KPWKM beralih dari konsep kebajikan yang telahpun diamalkan di negara kita sejak beberapa dekad dan memulakan proses pemikiran yang lebih matang bagi menjuarai tekad Wanita Malaysia bergerak aktif menyumbang ke arah pembinaan negara (nation building).

Kerajaan Malaysia perlu menunjukkan sokongan dan memandang serius perkara ini agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat lebih diberdayakan (empowered) untuk membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat di Malaysia.



HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang


FONG PO KUAN
Ahli Parlimen Batu Gajah


SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Ahli Parlimen Rantau Panjang